aku x mati lg laa...

SELAYANG WARKAH


Kehadapan cucu-cicitku yang kini berada di alam nyata.
           
Apa khabar kalian semua? Baguslah kalau sihat. Aku? Aku sebenarnya telah lama pergi. Emm..bila tarikhnya aku sendiri dah lupa tapi aku tahu pastinya kalian semua ingat. Jika tidak masakan dapat cemerlang dalam sejarah.
           
Keadaan telah memaksa aku menulis warkah ini. Dalam surat ini, aku tak mahu bercerita panjang tentang perjuangan lagi dah. Tapi ingin menyentuh tentang kehidupan kalian pada zaman sains  dan teknologi. Aku bangga berkat perjuanganku bersama-sama Dol Said, Dato Bahaman, Dato Maharajalela dan lain-lain, kalian semua dapat hidup dengan aman dan damai sekali.

Cucu-cicitku,

            Tak mahu melihat engkau orang terlompat-lompat menari, terkinja-kinja tak kira tempat. Menari apa tu..RAP, ROCK? Sekali tengok macam beruk yang selalu aku temui dalam hutan dulu waktu berjuang menentang Inggeris. Kalaulah aku masih bernyawa, tentu ramai muka merah-merah akibat termakan penampar pendekarku. Tengok tu, yang lelaki rambut panjang, pakai rantai, cincin. Dah tu seluar terkoyak sana-sini. Macam orrang tak cukup makan saja. Badan tinggal tulang rangka. Ish! Ish! Muda-muda lagi dah mati terkena penyakit HIV. Kesian…

            Yang perempuan pula tertedah sana, buka sini. Rambut pula dibiarkan saja terbang. Kononnya nak tarik perhatian orang, nak pikat jejaka-jejaka yang lalu-lalang. Astagfirullah!! Ingat-ingatlah sikit kita ni orang Timur. Tengok aje Tun Teja, tak payah nak “bermake-up” dan tak perlu dedah aurat. Itupun bagai nak gila Sultan Mahmud dibuatnya. Hee..loya tekak aku bila dapat tahu yang anak-anak remaja sekarang ni sibuk nak jadi penyanyi. Kalau aku waktu muda-muda dulu, bila malam pergi tuntut ilmu pendekar. Tapi sekarang..berebut-rebut nak jual aurat tu. Sepatutnya, masa sekarang ni lah engkau orang nak buat amal ibadat. Ini tidak, sesetengah tu, nak mengucap dua kalimah syahadah pun tergagap-gagap. Apatah lagi membaca Al-Quran. Wallahhualamlah aku.

Cucu-cicitku,

            Lihatlah tu ha..bersepah-sepah yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah. Waktu aku dulu setakat candu tu memanglah ada tapi taklah membawa mudarat yang ketara. Kini bukan saja morfin, heroin, LSD dah tu muncul pula kokain. Cubalah kalian jauhi benda-benda ni. Aku rokok sekalipun payah nak mencuba. Aku betul-betul benci melihat cucu-cicitku terlentur kerananya. Hatiku sayu tiap kali melihat sekujur tubuh yang baru belasan tahun menjadi kaku akibat rokok. Aku tahu le kalian nak mati cepat pun tapi janganlah sampai menyusahkan orang lain. Fahami! Kalau perkara ini berterusan alamatnya ‘pemuda hamba dadah, pemudi tiang telefon”. Dengar sekali memang pelik tapi inilah realitinya.

            Masyallah..bertaubatlah cucu-cicitku sekalian. Moga-moga perkara ini tidaklah berterusan hendaknya. Sesekali itu apa salahnya bawalah tarian asli ke Amerika. Biarlah mereka berdondang sayang. Kita kan kaya dengan budaya lemah lembut, ye tak?

Cucu-cicitku sekalian,

            Seringkali apabila aku melawat dunia ini, tiada pernah aku melihat kalian di masjid ataupun surau. Cubalah sesekali tu dekatkan diri dengan surau asrama ke, dapat  juga pahala. Dah la, hal ini aku tak boleh salahkan kau orang seratus peratus. Mungkin salah mak bapak kau orang sendiri. Kalau masa aku kecil dahulu, baru nak kenal dunia dah di hantar bapak belajar di sekolah pondok. Tapi aku tengok ibu bapa sekarang lebih suka hantar anak-anak mereka ke kelas muziklah, tari-menarilah, kelas vokallah dan entah apa-apa lagi tah. Pun begitu, syukurlah kerana kerajaan sekarang dah mewajibkan subjek Pendidikan Islam dalam semua peringkat baik diperingkat menengah mahupun rendah. Hairan juga aku tengok kau orang lebih minat Matematik, Geografi, Fizik, Kimia dan sebagainya. Takpelah..itupun ilmu juga kan..tapi yang aku marah sangat ni, bila tiba je masa Agama dan Bahasa Arab, ramai yang mengeluh. Tak cukup dengan itu kau orang berdengkur pula! Aku harap lepas ni ramai yang akan insaf. Dan aku bangga dengan kehadiran Raihan, Brothers, Rabbani dan Hijjaz membawa lagu-lagu dakwah di celah-celah muzik Rap dan alternatif macam si Abot. Entahlah aku pun bukan tahu sangat nama-nama semua itu.

Wahai cucu-cicitku, fikirlah baik-baik. Tenangkanlah hati dan bukalah minda kalian seluas-luasnya. Bersihkanlah hatimu sebersih air suling di dalam makmal. Hanya itu saja yang ingin aku sampaikan, aku bukannya apa tapi aku pun bangga cucu-cicitku bijak lagi suci murni hati nalurinya. Aku setinggi Gunung Everest menaruh harapan sepenuhnya agar anak-anak serta cucu-cicitku sekalian dapat memelihara kemerdekaan ini buat selama-lamanya. Tanpa kalian siapalah hendak ku gantungkan harapan ini lagi.

Akhir kata, sampaikan salam syahdu dariku buat mak bapak kamu sekalian. Sekian.

Wassalam.
                                                                                                               Daripada,
                                                                                                            YB Tok Ayah.


 
  • aku suka baca ni..tu yg saja postkan...huhu..
insaf jap...........

0 masalah murid: